
ISU penderaan, penyeludupan, mangsa peperangan dan jangkitan penyakit adalah antara masalah yang sering dikaitkan dengan golongan kanak-kanak.
Golongan yang mewakili satu pertiga daripada keseluruhan penduduk dunia hari ini terus menjadi sasaran terutama pihak yang tidak bertanggungjawab.
Lebih membimbangkan golongan ini gagal mendapatkan hak mereka seperti yang termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak 1989.
Konvensyen ini mengesahkan hakikat bahawa kanak-kanak, oleh kerana mudah dipengaruhi, memerlukan penjagaan dan perlindungan khas serta meletakkan penekanan khas ke atas penjagaan utama dan tanggungjawab pelindung oleh keluarga.
Justeru dalam memastikan golongan ini terus terpelihara, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mendapatkan hak-hak ini.
Perkara ini diakui sendiri Penolong Pengarah (Kanak-Kanak), Bahagian Advokasi dan Perundangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Teoh Kim Lian, ketika menyampaikan ceramah pada Bengkel CRC Zon Tengah anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Katanya, kanak-kanak adalah aset penting dalam sesebuah negara. Malah, golongan ini bakal membentuk masyarakat dan generasi akan datang dengan lebih sempurna dan berketerampilan. Justeru, dalam memastikan usaha ini tercapai, perkembangan mental dan fizikal mereka perlu diberi penekanan bagi kesempurnaan hidup yang sejahtera.
Namun, sayangnya kata Teoh, tidak kesemua daripada mereka berkesempatan untuk menikmati kualiti hidup yang sewajarnya. Di banyak tempat di dunia ini, terutama di negara-negara yang miskin di Afrika, Asia, dan Amerika Latin, kanak-kanak hidup dalam serba kedaifan.
Masalah kemiskinan dan kebuluran yang melanda negara terlibat ternyata memberi kesan mendalam kepada pembangunan sosial dan mental kanak-kanak yang tidak berdaya.
Ramai daripada kanak-kanak ini hidup dalam serba kekurangan zat makanan seterusnya mengundang kepada pelbagai penyakit berbahaya,'' ujarnya.
Kata Teoh, dalam peringkat umur sebegini, mereka wajar menikmati alam kanak-kanak dengan sempurna.
Ini termasuklah hak mereka untuk mendapatkan perlindungan kesihatan, pemakanan yang berzat dan juga pendidikan yang berkualiti.
No comments:
Post a Comment